Gambar hiasan,

KUALA LUMPUR – Pembinaan laluan Pintasan Serendah ke Pelabuhan Klang akan mengukuhkan daya saing pengangkutan rel kargo terus ke pelabuhan tersebut, selain penyelesaian alternatif strategik kepada isu kesesakan laluan kereta api Kuala Lumpur (KL).

Malah, Pintasan Serendah ini akan mengukuhkan rantaian bekalan logistik dan meningkatkan kecekapan pengangkutan rel kargo dalam negara.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menyambut baik hasrat tersebut berkata, sudah bertahun lamanya pergerakan kereta api penumpang dan kargo tertumpu di laluan KL sebagai laluan utama untuk dihubungkan ke arah Pelabuhan Klang dan selatan tanah air menyebabkan laluan antara KL Sentral dan Putra menjadi lalu lintas paling sibuk di rangkaian kereta api KTMB.

Lebih-lebih lagi permintaan terhadap perkhidmatan rel penumpang dalam bandar di Lembah Klang dewasa ini kian meningkat.

Katanya, Dengan pertambahan ketara bilangan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter, isu kesesakan perkhidmatan rel KTMB di sekitar Kuala Lumpur terus meruncing.

Slot laluan perkhidmatan KTM Kargo menjadi terhad di luar waktu puncak pagi dan petang sahaja.

KTMB berkata, masalah kesesakan ini menjadikan KTM Kargo kurang berdaya saing berbanding mod pengangkutan jalan raya disebabkan fleksibiliti pergerakan kargo terhad dan masa perjalanan yang panjang.

Malahan, permintaan kargo yang tinggi di utara semenanjung terutamanya muatan kontena tidak dapat dioptimakan untuk diangkut dengan pengangkutan rel ke Pelabuhan Klang.

”Taraf keselamatan orang awam terutamanya di KL Sentral juga dapat ditingkatkan apabila tiada lagi pergerakan kereta api kargo yang membawa komoditi bahan-bahan berbahaya melalui kawasan sekitar Kuala Lumpur.

”Bagi KTMB pula, sudah tentunya projek ‘Pintasan Serendah’ dapat memberi manfaat besar kepada peningkatan kecekapan pengendalian perkhidmatan KTM Kargo.

”Penyediaan pengangkutan rel kargo yang lancar, selamat dan kos-efektif ke Pelabuhan Klang dengan slot perjalanan yang fleksibel dan masa pergerakan yang singkat sangat menepati kehendak pelanggan dalam mengurangkan kos pengendalian logistik,” katanya.

Tambahan lagi, peningkatan kapasiti kemudahan rel ke Pelabuhan Klang ini akan dapat mengukuhkan rantaian bekalan logistik kepada pembangunan indusri-industri baharu di dalam negeri-negeri utara semenanjung Malaysia di bawah seliaan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Kerajaan Negeri.

Di samping itu, ianya akan menggalakkan peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Dasar Pengangkutan Negara.

KTMB mensasarkan sebanyak 500,000 TEU kargo setahun akan diangkut melalui Pintasan Serendah dan jumlah ini akan terus bertambah bagi tahun-tahun mendatang selari dengan peningkatan keyakinan pelanggan untuk beralih menggunakan perkhidmatan KTM kargo.

Manakala perkhidmatan ETS dan KTM Komuter di Lembah Klang akan mempunyai lebihan kapasiti susulan peralihan pengangkutan rel kargo menggunakan pintasan ini.

Dengan itu, KTMB berupaya meningkatkan kekerapan perkhidmatan ETS dan KTM komuter sesuai dengan permintaan penumpang di masa hadapan.

Contohnya, kata KTMB, kekerapan perkhidmatan KTM komuter pada waktu puncak kini adalah setiap 15 minit boleh dipendekkan kepada 7.5 minit selepas siapnya Pintasan Serendah dan kerja-kerja menaik taraf landasan di Lembah Klang menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette