Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) memaklumkan insiden kesesakan teruk di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Titiwangsa di sini hari ini berlaku kerana kehadiran orang ramai berganda.

Selain itu ia juga disebabkan laluan kenderaan masuk ke kawasan tersebut yang sempit.

“Selain itu bilangan khemah dan kerusi di ruang menunggu bagi mereka yang hadir mendapatkan imunisasi Covid-19 juga agak terhad.

“Kapasiti PPV adalah seramai 1,600 orang sehari dan jumlah ditambah dengan bilangan pengiring yang menyebabkan jumlah orang ramai yang berada di lokasi adalah berganda dalam satu-satu masa,” kata CITF menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut CITF, keadaan itu semakin buruk apabila hujan dan kenderaan yang menghantar penerima vaksin berebut-rebut menghentikan kenderaan masing-masing berdekatan
dengan pintu masuk di kawasan yang sama.

“Bagi memperbetulkan keadaan ini, CITF mengambil keputusan untuk menambah bilangan khemah menunggu sebanyak empat unit dan sejumlah 500 kerusi dengan secepat mungkin.

“CITF memohon maaf kepada semua yang terkesan dengan masalah kesesakan di PPV Stadium Titiwangsa dan akan sentiasa menambah baik perkhidmatan kami dari semasa ke semasa,” ujarnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau hari mengundi boleh berbaris dan terkawal, tak kanlah hendak cucuk vaksin tidak boleh kawal.

Comments are closed.