Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa surat rentas negeri biarpun waktu hujan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Hari Raya Aidilfitri keempat bagi mengawal aktiviti rentas negeri di Plaza Tol Gombak, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 MEI 2021.

Saudara pengarang,

Membaca coretan Dr Nusima Mohamed dan Dr Nor Azlina Ismail memang menginsafkan. (https://malaysiagazette.com/2021/05/15/aidilfitri-si-perantau-lihatlah-secara-positif/)

Pernah berperantauan di luar negara, memang sebak bila mengingatkan akan beraya jauh dari keluarga dan kampung halaman.

Lebih-lebih lagi bila Syawal semakin dekat. Hampir lupa bahawa Ramadan dan puasa ada berbagai cerita untuk dibuat pedoman. Seperti Ramadan dan puasa disatukan pada tahun kedua Hijrah.

Memang mudah untuk terlepas pandang bahawa berpuasa di bulan Ramadan disyariatkan pada bulan Syaaban tahun kedua Hijrah melalui firman Allah yang seringkali dibacakan menjelang Ramadan, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa itu telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa. Iaitulah pada hari-hari yang ditetapkan.” (Surah al-Baqarah: 183)

Ini bermakna 1 Syawal yang diraikan sebagai hari kemenangan selepas sebulan berjihad menentang hawa nafsu hanya bermula pada tahun kedua Hijrah.

Ketika itu, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat daripada kalangan Muhajirun berada di kota Madinah – jauh dari kampung halaman di kota Makkah.

Mereka juga perantau. Mereka juga beraya buat julung-julung jalinya di perantauan setelah berhijrah ke Madinah, yang dilakukan demi agama dan nyawa.

Kedua-duanya adalah antara maqasid Syariah.

Demi agama dan nyawa jugalah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat – Muhajirun dan kaum Ansar – bertempur dalam perang Badar pada 17 Ramadan dengan kemenangan di pihak orang-orang Islam di bawah pimpinan Baginda.

Meskipun menang dalam perang Badar, pastinya sebak dan sayu Nabi Muhammad SAW  dan para sahabat Muhajirun tidak dapat meraikan kemenangan 1 Syawal di kampung halaman.

Perang Uhud kemudian menyusul pada 7 atau 11 Syawal tahun ketiga Hijrah. Dua tahun kemudian (tahun kelima Hijrah) orang-orang Islam di Madinah sekali lagi bertempur dalam perang Khandaq, yang dikenalikan juga dengan nama perang Ahzab, yang melibatkan orang-orang musyrikun Makkah dan bebarapa kelompok Yahudi dan orang-orang munafikun Madinah.

Pendek kata, dua kota besar di bumi Arab berada dalam dalam keadaan perang (state of war) yang memaksa Nabi Muhammad SAW dan Muhajirun untuk ‘berdendang perantau’ setiap Syawal. Ini berlaku sehingga peristiwa pembukaan kota Makkah pada 10 Ramadan tahun kelapan Hijrah.

Tidak rindukah Nabi (s.a.w) dan para sahabat Muhajirun pada kampung halaman mereka, iaitu kota Makkah? Kerinduan Nabi Muhammad SAW pada kota kelahirannya pernah dinukilkan dalam sebuah kisah yang melibatkan seorang sahabat bernama Ashil Al-Ghifari yang baru kembali dari Tanah Haram. Ketika hendak menemui Nabi (s.a.w), Aisyah bertanya kepadanya, “Wahai Ashil, bagaimana keadaan Makkah sekarang?”

Ashil menjawab, “Aku melihat Makkah subur wilayahnya, dan menjadi bening aliran sungainya.”

“Duduklah engkau, wahai Ashil. Tunggu sampai Baginda datang,” kata Aisyah.

Tidak lama kemudian Nabi Muhammad SAW pun keluar dari kamarnya dan menanyakan hal yang sama, “Wahai Ashil, ceritakanlah padaku bagaimana keadaan Makkah sekarang?”

Ashil menjawab, “Aku melihat Makkah subur wilayahnya, telah bening aliran sungainya, telah banyak tumbuh idzkirnya (nama sejenis pohon), telah tebal rumputnya, dan telah ranum salamnya (sejenis tanaman yang biasa digunakan untuk menyamak kulit).”

“Cukup, wahai Ashil. Jangan kau buat kami bersedih,” ucap Nabi Muhammad SAW dengan penuh rindu.

Sebelum peristiwa pembukaan Makkah, Nabi Muhammad SAW bertahan dari balik kampung demi nyawa orang-orang Islam dan demi kelangsungan agama. Nabi Muhammad SAW hanya memanjatkan doa demi kebaikan dan keagungan kota Makkah.

Berpuasa dan beraya di perantauan. Itulah yang dilalui sendiri oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Muhajirun.

Demi agama. Demi nyawa. Kedua-duanya wajib dipelihara.

Seperti Nabi Muhammad SAW, kita juga perantau. Dan seperti Nabi Muhammad dan para sahabat di Madinah, kita juga sedang berperang. Tetapi tidak seperti mereka, kita sedang berperang dengan musuh yang tidak nampak dengan mata kasar.

Perang ini tidak menuntut kita mengangkat senjata dan bergadai nyawa. Perang ini cuma menuntut kita duduk di rumah untuk menjaga nyawa.

Lainlah kalau kita di barisan hadapan yang harus berperang dengan segala kelengkapan perlindungan diri. Mereka sedang kepenatan dan hanya meminta kita membantu mereka dengan duduk di rumah.

Janganlah kita membawa musuh ini – virus korona – bersama kita tanpa disedari ke rumah sanak saudara dan sahabat handai, yang dekat mahupun yang jauh di kampung halaman. Hatta dengan jiran terdekat.

Kes jangkitan tidak bergejala adalah antara punca disebalik peningkatan kadar kebolehjangkitan atau ‘R naught’ (Rt) kebelangkangan ini.

Elakkan diri jadi pembawa virus dan penyakit. Kita tinggal di rumah sahaja, seperti gesa Tun Mahathir Mohamad.

Bertakbir, bertasbih dan bertahmid di rumah sahaja dalam kalangan ahli keluarga yang tinggal serumah.

Bertahanlah. Bersabarlah. Berpuasa di bulan Ramadan baru sahaja melatih kita untuk bertahan dan bersabar. Duduk di rumah demi menjaga nyawa.

Hafiz Hassan, pembaca MalaysiaGazette