Mayat seorang bayi yang baru dilahirkan ditinggalkan di tepi pagar Jalan Desa Rejang, Taman Sri Rampai sebelum dijumpai seorang tukang sapu sampah Alam Flora dalam kejadian 8 pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang tukang sapu warga Pakistan terkejut apabila menemui mayat bayi dibaluti tuala dalam beg di Taman Sri Rampai di sini hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku pada sekitar jam 8 pagi, kata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah.

Menurutnya, polis menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu dari orang awam sekitar jam 8.30 pagi di tepi pagar Jalan Sri Rejang 3, Taman Sri Rampai.

Siasatan polis mendapati, saksi yang bekerja sebagai tukang sapu Alam Flora telah tiba ke lokasi sebelum memulakan kerja menyapu sampah.

“Ketika menyapu, lelaki itu terjumpa satu beg berwarna putih di tepi pagar sebelum mendekati dan mengangkat beg itu lalu terkejut melihat seorang bayi di dalam beg itu yang dibalut dengan kain tuala warna merah jambu.

“Saksi kemudian segera memaklumkan rakannya sambil meminta memaklumkan kepada polis.

“Pihak polis dibantu Unit Forensik IPK Kuala Lumpur telah bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut,” kata Ashari dalam satui kenyataan hari ini.

Malangnya,  penolong pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur yang dikejarkan ke lokasi kejadian hasil pemeriksaannya mendapati bayi itu disahkan meninggal dunia.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan dijumpai pada bayi tersebut dan pemeriksaan awal pada tubuh bayi tiada dijumpai sebarang kesan kecederaan.

“Pihak polis percaya mayat bayi itu telah ditinggalkan di lokasi tersebut dalam tempoh kurang 12 jam sebelum dijumpai.

“Mayat bayi malang itu telah dihantar ke Unit Forensik HKL untuk bedah siasat dan polis membuka kertas siasat dan menyiasat kes di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta kerjasama untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran membantu siasatan polis atau menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222.- MalaysiaGazette