Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah (kanan) beramah mesra dengan penerima vaksin ketika memantau keadaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Penerima vaksin yang dikenalpasti sebagai kontak rapat dan menjalani kuarantin di rumah dinasihatkan supaya tidak hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) walaupun  mempunyai temu janji.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, ia bagi mengelak mereka menjadi penyebar kepada virus tersebut.

“Anda sebenarnya boleh buat temu janji baharu dengan program vaksin PPV ini, Jika anda dapat dikesan hadir juga walaupun kuarantin di rumah, sebenarnya dianggap melanggar arahan KKM dan boleh diambil tindakan kompaun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan perjalanan pemberian vaksin di PPV Pusat Dadangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambah beliau, temu janji mereka yang dikategorikan sebagai kontak rapat terbatal secara automatik dan temu janji baharu akan ditetapkan.

Menurut Mohamad Zainal, mereka yang hadir ke pusat vaksin untuk mengambil dos pertama atau kedua ketika menjalani kuarantin mengingkar arahan Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

Sementara itu, beliau memberitahu, setakat ini polis belum mengeluarkan kompaun di PPV itu dan tindakan akan diambil jika terdapat SOP tidak dipatuhi.

Katanya, pemantauan yang dilakukan pada hari ini mendapati keadaan di pusat tersebut terkawal. – MalaysiaGazette