Gambar yang dirakamkan pembaca China Press, Khairy kelihatan tekun mengisi borang dalam keadaan bertelut di depan meja kerana kekurangan kerusi.

KUALA LUMPUR – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin kelihatan berlutut sambil membantu orang ramai mengisi borang di Pusat Pemberian Vaksin di World Trade Centre (WTC) di ibu negara.

Dalam satu gambar yang dirakamkan pembaca China Press, Khairy kelihatan tekun mengisi borang dalam keadaan bertelut di depan meja kerana kekurangan kerusi.

Menurut akhbar itu, Khairy menawarkan bantuannya untuk melancarkan proses pendaftaran selepas melihat barisan di salah satu kaunter bergerak dengan perlahan.

Selain Khairy, dalam satu gambar berlainan, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Chong Chee Keong juga kelihatan tekun memberi bantuan di barisan hadapan.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Petugas Khas Imuniti COVID-19 (CITF), berlaku kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin di WTC kerana terdapat orang yang mencuba nasib di situ walaupun tidak mempunyai temujanji suntikan vaksin.

Selain itu, terdapat juga orang yang pergi ke pusat itu lebih awal daripada masa yang ditetapkan. – MalaysiaaGazette