Neelofa. Foto MOHD ADZLAN, 05 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hari ini bersama sembilan lagi ahli keluarganya berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, 10 ahli keluarga termasuk selebriti itu hadir ke IPD petang tadi dan memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

“Untuk makluman 10 orang kesemuanya terdiri daripada ahli keluarga termasuk selebriti.

“Ya. (hadir) bagi membantu siasatan polis. Semua mereka memberi kerjasama yang baik,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipercayai membawa ahli keluarga selebriti itu dilihat memasuki IPD pada pukul 2.51 petang dan keluar kira-kira pukul 5 petang.

Media hari ini melaporkan selebriti popular, Neelofa sekali lagi disiasat polis kerana didakwa ingkar arahan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada sambutan Aidilfitri bersama keluarganya baru-baru ini.

Menurut Anuar, pihaknya menerima satu laporan semalam kira-kira pukul 10.25 malam membabitkan keluarga selebriti berkenaan yang merakam detik sambutan raya pada 1 Syawal di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr. Ismail di sini.

“Video tersebut memaparkan ahli keluarga mereka didapati berkumpul dalam sebuah rumah semasa sambutan 1 Syawal dan telah dikongsi oleh netizen menerusi laman Twitter.

“Kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.

Anuar berkata, kes itu disiasat di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Langgar SOP Aidilfitri: Kenderaan bawa keluarga Neelofa dilihat di IPD Brickfields