PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Belum pun reda dengan kontroversi merentas negeri untuk ke kedai karpet di Nilai, Negeri Sembilan, selebriti popular, Neelofa sekali lagi disiasat polis kerana didakwa ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada sambutan Aidilfitri bersama keluarganya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima satu laporan semalam kira-kira pukul 10.25 malam membabitkan keluarga selebriti berkenaan yang merakam detik sambutan raya pada 1 Syawal di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr. Ismail.

“Hasil siasatan mendapati video tular yang berdurasi selama 26 saat itu dimuat naik melalui akaun Instagram kakak kepada selebriti berkenaan.

“Video tersebut memaparkan ahli keluarga mereka didapati berkumpul dalam sebuah rumah semasa sambutan 1 Syawal dan telah dikongsi oleh netizen menerusi laman Twitter.

“Kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anuar, kes itu akan disiasat di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan SOP PKP 3.0 di Wilayah Persekutuan berkuatkuasa 7 hingga 20 Mei ini dengan menetapkan rentas sempadan negeri dan daerah (berdasarkan sempadan daerah ditetapkan Kerajaan Negeri) tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran polis.

“Pergerakan di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagaimanapun dibenarkan dan ia dikira sebagai satu kawasan jangkitan,” katanya.

Sehubungan itu, Anuar menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular melibatkan keluarga selebriti tempatan ini dan meminta mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Sebarang aktiviti yang bertentangan dengan SOP termasuk penyalahgunaan permit merentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Jika ada sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette