Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani . Foto MOHD ADZLAN.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berhubung kebenaran merentas daerah atau negeri.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan tegas bakal dikenakan selaras dengan peraturan yang telah ditetapkan.

“Kebelakangan ini PDRM mengesan segolongan masyarakat yang telah menyalah guna atau memalsukan kebenaran serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa merentas daerah dan negeri.

“Dalam usaha melaksanakan ketetapan kerajaan untuk terus mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat, PDRM akan terus mengawasi serta menghadkan pergerakan terutamanya melibatkan rentas daerah dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, PDRM akan lebih teliti dalam mempertimbangkan kelulusan kebenaran untuk merentas yang dipohon oleh orang awam.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan bersama-sama memainkan peranan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini. – MalaysiaGazette