Azwan Ali
Azwan Ali. foto AFIQ RAZALI, 11 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Selebriti sensasi, Azwan Ali menggesa kerajaan mengenakan hukuman penjara kepada golongan selebriti yang gemar melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Gesaan Azwan yang juga pengacara itu merujuk kepada tindakan Neelofa yang sekali lagi dikatakan melanggar SOP apabila berkumpul dengan keluarga besarnya pada Aidilfitri.

“Saya nak jadi orang rakyat pertama gesa kerajaan untuk penjarakan selebriti perasan bagus ini. Siapa setuju? Kasi (bagi) viral (tweet) ini.

“Dua kali dah kau gelupur langgar SOP. Ini kecoh kali ketiga. Lagi-lagi muka kau. Muhasabah weh, kerana kau rakyat tersinggung dan marah. Apa sumbangan besar kau pada industri hiburan Malaysia!,” getus Azwan melalui Twitter miliknya.

Semalam, media melaporkan keluarga Neelofa sekali lagi menjadi perhatian dan bualan netizen apabila didakwa melanggar SOP Aidilfitri yang ditetapkan.

Sebuah video yang dimuat naik kakak Neelofa, Noor Nabila tular dalam laman Twitter selepas dirakam dan dikongsi netizen sejak tengah hari semalam.

Video berdurasi 27 saat itu jelas menunjukkan ahli keluarga Neelofa berkumpul pada pagi Syawal dan sedang bersalaman meminta maaf antara satu sama lain.

Barangkali sedar video yang dimuat naik mencetuskan amarah netizen, tidak lama selepas itu, Noor Nabila memadam video berkenaan dari Instagram.

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, Azwan atau nama sebenarnya, Mohamed Azwan Ali marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan selebriti berkenaan yang kali ketiga melanggar SOP tatkala negara masih bergelut dengan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette