PUTRAJAYA – Prosiding rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masuk hari ke-15 dengan pasukan pembelaan menyambung hujah.

Sepatutnya prosiding itu berlangsung pada 6 Mei lalu namun salah seorang daripada pasukan pembelaan, Harvinderjit Singh, terpaksa dikuarantin kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

Pembelaan dijangka selesai berhujah hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tiba ke perkarangan Istana Kehakiman pada jam 8.55 pagi ini dan sempat melambai kepada media.

Pendengaran rayuan itu sepatutnya tamat pada 5 Mei lalu namun oleh kerana pasukan pembelaan Najib tidak dapat menamatkan jawapan mereka kepada kes pendakwaan, mahkamah melanjutkan tempoh kes itu.

Ketika itu, Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menegur pasukan pembelaan Najib supaya tidak mengulangi apa yang telah mereka maklumkan kepada mahkamah.

“Kita dengar perkara yang sama berkali-kali. Anda sedang mengulanginya. Kebanyakan isu sudah disentuh, cuba fokus kepada isu yang benar-benar substantif.

“Terus sahaja kepada maksud anda. Buat sesuatu yang boleh lekat dalam fikiran kita, jangan terpesong. Kami sedang mendengar, mendengar dan mendengar.

“Kita tidak tahu sama ada ketika ini ia adalah berkaitan dengan pertuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) atau pecah amanah.

“Terus kepada perkara utama, yang penting adalah jadikan ia lebih jelas, supaya kita boleh lihat dengan jelas, kalau tidak bercelaru kita semua,” katanya ketika prosiding dua minggu lepas.

Abdul Karim yang mendengar rayuan itu bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada asalnya rayuan Najib ditetapkan untuk didengar selama 12 hari dari 5 April hingga 22 April namun permohonan pasukan pembelaannya, mahkamah membenarkan ia ditambah selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 April.

Pada 28 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, yang melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC. – MalaysiaGazette

Prosiding 1MDB rayuan SRC International ditangguh kerana Covid-19