Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram pada rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya .Foto HAFIZ SOHAIMI, 20 APRIL 2021

PUTRAJAYA – Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram memohon agar pasukan pembelaan rayuan Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC) menghabiskan hujah mereka pada hari ini.

Peguam ad hoc itu berkata, pihak pembelaan mengambil masa begitu lama untuk berhujah dan memberikan fakta-fakta baharu seperti baharu hendak memulakan hujah pada hari pertama prosiding.

“Ketika hujahan diberikan kepada kita hari ini, ianya seperti hari pertama prosiding, semuanya berulang dan begitu panjang berjela-jela. Ada speaking notes lagi.

“Kita mohon supaya hujah pembelaan dihabiskan dan tidak ada tempoh masa diminta lagi. Kita mohon supaya terus kepada perkara utama dan tidak terpesong. Nota yang ditulis juga panjang lebar dan asyik berulang,” katanya ketika memulakan prosiding di adapan tiga panel hakim di sini hari ini.

Sithambaram turut memohon agar individu yang tidak mempunyai kaitan dengan kes tersebut tidak berada dalam bilik prosiding berikutan kebimbangannya tentang penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalilberkata, sepatutnya isu tersebut telah dimohon sebelum ini supaya arahan tegas dapat diberikan.

“Saya tengok sebelum ada juga yang terbatuk-batuk ketika prosiding, mungkin juga demam. Yang mempunyai simptom sedemikian tolonglah keluar, jangan bahayakan diri dan orang lain. Kita kena tegas dalam tangani situasi ketika ini.

“Dalam pada itu, saya juga mohon kepada pembelaan supaya terus kepada hujah utama dan penting serta tidak perlu ada pengulangan, kita semua sudah dengar,” ujarnyanya.

Peguambela Datuk Seri Najib Tun Razak, Harvinderjit Singh

Peguam bela, Harvinderjit Singh kemudian bangkit dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan selesai berhuja dalam tempoh dua hingga tiga jam, sekurang-kurangnya sebelum waktu rehat tengah hari.

Prosiding bersambung di hadapan Abdul Karim dan dua lagi panel hakim iaitu Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berhadapan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

Rayuan SRC: Sambung lepas tangguh kerana Covid-19