PUTRAJAYA – Kecewa dengan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyamannya lebih RM9 juta, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa ia bermotifkan politik.
Peguam terkenal itu mendedahkan sehingga kini beliau masih belum lagi menerima sebarang tuntutan secara bertulis dari LHDN sebaliknya hanya melalui hebahan media sahaja.
“Tindakan ini sungguh tidak beretika langsung. Saya tidak faham bagaimana LHDN boleh berbuat demikian. (How they do this I’m not sure, very unethical).
“Sehingga saat ini kami belum terima apa-apa tetapi berita mengenainya sudah ada dalam media terlebih dahulu.
“Pada saya ini tindakan yang tidak lebih daripada langkah politik,” katanya kepada pemberita sejurus selepas selesai prosiding rayuan SRC international Sdn Bhd (SRC) bernilai RM42 juta melibatkan bekas Perdana, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Media dimaklumkan Muhammad Shafee mempunyai tunggakan cukai tahun taksiran bermula dari tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan juga 2016.
Kerajaan mendakwa bagi tahun-tahun taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016, defendan ditaksirkan dengan cukai pendapatan berjumlah RM621,291.85, RM978,854.11, RM3,581,500.000, RM1,735,124.03 dan RM1,826,557.87.
Ini melalui notis-notis taksiran masing-masing bertarikh 27 Mei 2019 dan seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus masing-masing dikenakan dan ditambah ke atas keseluruhan cukai pendapatan bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 yang masih belum dibayar.
Plaintif iaitu kerajaan Malaysia melalui LHDN telah menuntut defendan membayar RM9,414,708.32, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.
Untuk makluman, Muhammad Shafee adalah peguam utama yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) turut berdepan pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib.
Pada September 2018, Muhammad Shafee didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu yang dikaitkan dengan wang berjumlah RM9.5 juta.
ARTIKEL BERKAITAN:
Dalam pada itu, Muhammad Shafee turut mempersoal pihak berkuasa mengapakah sehingga kini tidak bertindak dalam permohonan mengeluarkan perintah untuk mendapatkan dokumen berkaitan 1MDB dari pihak tertentu termasuklah suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Sebelum ini Najib telah memohon untuk mendapatkan penyata bank bermula 2008 hingga 2020 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low dan suami Zeti, Datuk Dr Tawfiq Ayman
“Kita sudah fail semua tapi saya tidak faham mengapa ‘pekung’ Tan Sri Zeti dan keluarganya terus di jaga oleh kerajaan. Kalau mereka ada kaitan dengan kes 1MDB, SRC mengapa tidak kerajaan bongkarkan semuanya, mengapa tutup pekung?” soalnya. -MalaysiaGazette
















