Motosikal digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah turut dirampas polis.

SEBERANG PERAI – Dua lelaki yang aktif melakukan kegiatan ragut dan samun sekitar Seberang Jaya dan Bukit Tengah di sini diberkas dalam dua serbuan awal pagi tadi.

Serbuan berakhir jam 1.10 pagi di dua kediaman sekitar Bukit Tengah itu membawa kepada penangkapan lelaki berusia 26 dan 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, tangkapan ke dua suspek itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang juga mangsa ragut suspek pada 12 Mei lalu.

Jelas Shafee, dalam kejadian di Jalan Taman Setia itu, mangsa berusia 41 tahun bukan sahaja terjatuh dari motosikal selepas rantai emasnya diragut malah turut dicederakan pada bahagian kepala menggunakan topi keledar.

“Hasil soal siasat kedua-dua suspek mengaku telah membuang barang dan dokumen peribadi milik mangsa ke dalam longkang besar di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai di Bandar Perda.

“Rantai leher yang diragut pula dijual di kedai pajak gadai di kawasan berhampiran.

Pakaian salah seorang suspek yang dipercayai digunakan ketik meragut turut dirampas pihak polis dalam serbuan awal pagi tadi.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek itu melakukan jenayah secara bersama dengan menunggang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dirampas ketika serbuan motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah serta telefon bimbit.

Tambah Shafee, hasil semakan lanjut mendapati suspek berusia 27 tahun itu memiliki 16 rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

“Selain itu, hasil soal siasat mereka juga mengaku terlibat dalam kegiatan pecah kereta di sekitar Seberang Jaya serta daerah Seberang Perai Utara.

“Tangkapan dua suspek ini berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes ragut dan semua di daerah Seberang Perai Tengah,” ujar Shafee. – MalaysiaGazette