Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri mensasarkan mengumpul dana sebanyak RM1 juta untuk Tabung Selangor Peduli Palestin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia merupakan projek pertama di bawah Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin hasil jalinan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang diluluskan penubuhannya pada hari ini.

“Dalam rangka usaha bersolidariti dengan rakyat Palestin, kerajaan negeri Selangor akan melancarkan Tabung Selangor Peduli Palestin yang akan digerakkan melalui kolaborasi strategik bersama NGO seperti Global Peace Foundation Malaysia.

“Kerajaan negeri mensasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM1 juta melalui pengumpulan sumbangan yang akan diselaraskan melalui kerajaan negeri Selangor, Ahli-Ahli DUN, anak-anak syarikat kerajaan negeri, syarikat-syarikat swasta dan juga individu peribadi yang ingin menyumbang,” katanya pada sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

Tambah beliau, dana itu akan disalurkan kepada rakyat Pelestin dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna yang akan dilengkapi dengan ubat-ubatan.

“Ubat-ubatan yang menjadi salah satu keperluan yang sangat mendesak di Palestin terutamanya di Gaza yang menerima serangan daripada Israel,” tambah beliau.

Kata Amirudin,  kerajaan negeri Selangor menawarkan pengecualian cukai tertentu kepada individu dan organisasi yang menyumbang kepada Tabung Selangor Peduli Palestin.

Jelasnya, Tabung Selangor Peduli Palestin mulai digerakkan pada hari ini. – MalaysiaGazette