lapan suspek sindiket menggerakkan sebuah kondominium sebagai pusat panggilan promosikan judi dalam talian di Desa Petaling sejak April lalu tumpas dalam serbuan petang semalam.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang menjadikan sebuah kondominium mewah sebagai pusat panggilan judi dalam talian di ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya berjaya menyerbu premis mempromosikan perjudian di dalam talian itu yang giat aktif di kawasan Cheras semalam sekitar jam 3.10 petang.

Katanya, sepasukan polis dari bahagian D7 IPK Kuala Lumpur telah membuat satu serbuan di sebuah unit kondominium di Desa Petaling.

“Hasil serbuan tersebut telah berjaya menangkap lapan suspek tempatan iaitu enam lelaki dan dua perempuan berusia 18 tahun hingga 40 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah mereka berjaya merampas sebanyak 10 set komputer riba, 18 buah telefon bimbit pelbagai jenama, seunit TP Link, sekeping kad akses rumah, 22 keping kad sim dalam serbuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan kejayaan tangkapan itu pagi ini.

Tambah beliau anggaran nilai rampasan daripada kesemua suspek berkenaan berjumlah RM60,000.

Menurut beliau, kesemua suspek direman mulai hari ini untuk membantu polis meneruskan siasatan lanjut dalam kes tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Hasil siasatan awal sindiket ini dipercayai menjadi Call Centre untuk tujuan mempromosikan aktiviti perjudian atas talian bagi pasaran tempatan dan premis tersebut telah disewa sejak April lalu dengan bayaran sewa sebanyak RM 3,000 sebulan manakala setiap pekerja dibayar gaji RM 2,000 sebulan oleh sindiket tersebut.

“Polis Kuala Lumpur memberi amaran keras agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan perjudian atau tindakan tegas akan dikenakan ke atas penganjur, pemain atau pelanggan dalam usaha memerangi kegiatan perjudian secara total di Kuala Lumpur.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya.-MalaysiaGazette