KOTA TINGGI – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun dari Jambatan By Pass, Jalan Kota Tinggi – Mersing pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang melihat kejadian itu pada pukul 7.30 pagi.

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan di sekitar Sungai Johor berhampiran jambatan tersebut.

“Sebuah motosikal jenis Modenas berwarna putih hitam turut dijumpai diparkir di tepi jambatan dalam keadaan enjin masih hidup, “katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hussin berkata, semakan awal mendapati pemilik motosikal tersebut didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Batu 25, Jalan Kota Tinggi – Johor Bahru.

Bagaimanapun tambah beliau, butiran lanjut masih belum diperolehi kerana pemilik motosikal masih belum ditemui.

Sementara itu, seramai 25 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Mersing, Skudai diketuai Ketua BBP Kota Tinggi, Azman Jantan dihantar ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi SAR mangsa. – MalaysiaGazette