Keadaan treler yang remuk teruk selepas merempuh Plaza Tol Ayer Hitam dalam kejadian awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh lorong tol Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol Ayer Hitam menghala Bandar Saujana Putra hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, mangsa lelaki berusia 55 tahun yang beralamat di Taman Tasik Sungai Chua, Kajang disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, mangsa yang memandu treler jenis Hino itu dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang dari arah Kajang.

“Sampai di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar tol di lorong RFID.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang dan proses bedah siasatan akan dijalankan selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette