logo polis
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga tempatan maut disyaki terjun dari tingkat empat di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.45 tengah hari.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terjumpa mayat di tingkat bawah kompleks beli-belah.

“Siasatan awal mendapati mayat merupakan seorang wanita tempatan berusia 33 tahun yang disyaki terjun dari tingkat empat bangunan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

Tambahnya, saksi ditempat kejadian diminta menghubungi Polis Damansara di talian 03-77222222 atau Sarjan Zulkarnain di talian 012-2446677.

Terdahulu pusat beli-belah 1 Utama di Bandar Utama, Petaling Jaya mengesahkan tentang seorang wanita yang dilaporkan jatuh dari tingkat 4 pusat beli belah itu. – MalaysiaGazette