Pasukan JSJ diketuai ACP Mohd Zaid menyerbu sebuah rumah banglo dan menahan 21 suspek terlibat penipuan Love Scam dan lelongan tak wujud hari ini.

KAJANG – Seramai 21 lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan love scam dan lelongan tidak wujud ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah banglo Country Heights, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, serbuan itu dilakukan pasukannya sekitar jam 2.45 petang tadi selepas pihaknya melakukan intipan  sejak sebulan lalu.

“Hasil serbuan itu, kami menahan 21 lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 32 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan love scam dan lelongan tidak wujud.

“Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan seperti telefon bimbit, komputer riba serta buku mengandungi skrip perbualan bagi aktiviti terbabit,” katanya di sini.

Sindiket berkenaan dipercayai aktif lebih sebulan lalu, mensasarkan wanita warganegara China sebagai mangsa utama untuk penipuan itu.

“Modus operandi sindiket berkenaan adalah mencari mangsa menggunakan aplikasi WeChat sebelum memperdayakan mereka untuk menyertai lelongan tidak wujud dengan menawarkan jualan barangan berharga seperti jed.

“Sindiket berkenaan kemudian akan bertindak menghilangkan diri selepas mangsa membuat pembayaran deposit bagi menyertai lelongan terbabit,” tegasnya.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai mengaut keuntungan antara RM18,000 hingga RM20,000 sehari hasil daripada kegiatan penipuan itu.

Polis juga mendapati sindiket berkenaan menawarkan pekerjaan kepada orang ramai kononnya sebagai telemarketing dengan gaji sebanyak RM3,000 melalui Facebook.

Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan, katanya.- MalaysiaGazette