Gambar hiasan

KUANTAN –  Akibat ingkar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka dengan alasan di dalam kereta, empat orang warganegara tempatan dikompaun RM 1,500 setiap seorang di Bentong, Pahang.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku pada 10.50 pagi tadi apabila anggota kereta peronda polis (MPV) melakukan rondaan pencegahan jenayah di sebuah kawasan perindustrian di jalan lama Bentong menghala Kuala Lumpur.

“Anggota peronda telah terserempak dengan empat orang lelaki warganegara tempatan yang tidak memakai pelitup muka.

“Pihak polis telah mengeluarkan kompaun ke atas keempat-empat lelaki terbabit yang berusia 18 tahun hingga 55 tahun,

“Keempat-empat lelaki tersebut yang masing-masing dengan sengaja tidak memakai pelitup muka dan memberi pelbagai alasan tidak memakai pelitup muka.

“Kompaun telah dikeluarkan kepada mereka dibawah Peraturan 17(1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (No 2) 2021,” katanya.

Jelas Zaiham, jika disabit kesalahan melanggar peraturan tersebut, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 bagi satu kompaun.

Ketika bercakap kepada MalaysiaGazette­­, Zaiham mengharapkan kerjasama orang ramai  memutuskan rantaian pandemik Covid-19 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan mematuhi SOP.

“Bersama kita putuskan rantaian Covid-19, jadi tolong sentiasa patuhi arahan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)”. – MalaysiaGazette