KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menangguhkan operasi Banci Malaysia secara bersemuka sehingga ke suatu tarikh baru yang akan dimaklumkan kelak susulan peningkatan kes Covid-19.

Keputusan ini diambil dalam menyokong usaha kerajaan membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak tersebut.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) dijalankan di seluruh negara sehingga 30 Jun 2021.

Namun Banci Dalam Talian (e-Census) dan pengumpulan data menggunakan kaedah Computer Assisted Telephone Interview (CATI) masih diteruskan.

Justeru orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci diseru memberikan kerjasama dengan mengisi maklumat melalui e-Census atau sistem panggilan telefon.

Berdasarkan respons yang diterima sehingga kini, seramai 19.2 juta atau 58.8 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia pada tahun 2020 telah direkodkan dalam Banci Malaysia 2020. – MalaysiaGazette