Arifai Tarawe

GOMBAK – Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang yang memiliki rekod jenayah lampau serta dikehendaki polis telah meninggal dunia selepas ditahan polis untuk proses dokumentasi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek yang ditahan di hadapan pos pengawal sebuah premis kilang di Taman Selayang Baru, Gombak sekitar jam 11.20 pagi hari ini.

Suspek adalah warga tempatan.

Katanya, suspek adalah seorang individu pelaku jenayah yang dikehendaki bersabit satu kes ugutan jenayah di IPD Gombak bagi tujuan dokumentasi.

“Setelah tiba di IPD Gombak pada jam 11.40 pagi, semasa berada di pejabat JSJ IPD Gombak, suspek telah mengalami sesak nafas.

“Pihak polis telah menghubungi Hospital Selayang untuk bantuan kecemasan sebelum ambulans Hospital Selayang  sampai di pejabat JSJ IPD Gombak dan memberikan rawatan kecemasan,’ katanya menerusi kenyataan media malam tadi.

Bagaimanapun ujar Arifai, Penolong Pegawai Perubatan Hospital Selayang kemudiannya  mengesahkan bahawa suspek telah meninggal dunia pada jam 12.30 tengahari.

“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai sejarah rawatan penyakit jantung.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan oleh polis dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur selesai dijalankan nanti,” ujarnya.

Menurutnya, suspek seorang individu berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mempunyai dua rekod lampau dadah dan jenayah. – MalaysiaGazette