Selebriti, Neelofa bersama suaminya yang juga pendakwah selebriti, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz berjalan keluar selepas hadir ke mahkamah bagi pendakwaan atas kesalahan merentas negeri untuk membeli karpet di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 20 MEI 2021.

SEREMBAN – Selebriti sensasi, Noor Neelofa Mohd Nor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz) yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 2 Mei lalu diikat jamin sebanyak RM15,000.

Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua kesalahan manakala Noor Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh sebut semula kes.

Selebriti, Neelofa bersama suaminya yang juga pendakwah selebriti, Haris Ismail atau dikenali sebagai PU Riz berjalan keluar selepas hadir ke mahkamah bagi pendakwaan atas kesalahan merentas negeri untuk membeli karpet di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 20 MEI 2021.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Haris didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk check in atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam sekitar jam 4 petang di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan pada 2 Mei lalu.

Neelofa pula dituduh kerana gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk check in atau menulis secara manual nama dan nombor telefon yang boleh dibaca sebelum memasuki premis kedai Naeem Carpet Sdn Bhd pada waktu dan tarikh yang sama.

Kedua-duanya dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Hukuman bagi setiap pertuduhan adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala kedua-dua pasangan berkenaan diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Terdahulu Nor Azizah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Muhamad Haris manakala RM10,000 terhadap Neelofa bagi kesalahan didakwa.

Majistret kemudiannya membenarkan Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua kesalahan manakala Noor Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh sebut semula kes.

Sementara itu, Haresh Mahadevan berkata, pihaknya tidak meminta rayuan jaminan kerana kedua-dua anak guamnya berdepan dengna kes saman dan bukannya kes jenayah.

Peguam, Haresh Mahadevan di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 20 MEI 2021.

Dalam pada itu, berhubung dengan isu rentas negeri bagi kedua-dua pasangan itu, Haresh berkata, isu tersebut tidak dibangkit dan sebaliknya mengikut pertuduhan mahkamah.

Sebelum itu, kedua-dua pasangan itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban di sini sekitar jam 8.55 pagi tadi dengan menaiki sebuah kenderaan BMW berwarna biru.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Neelofa, suami mengaku tidak bersalah langgar SOP PKPB