Azura Othman

KUALA LUMPUR – Faktor utama ketahanan sektor perbankan Islam ketika negara dilanda pandemik Covid-19 adalah berdasarkan kepada prinsip kewangan Islam itu sendiri, iaitu perkongsian risiko dan ganjaran.

Logik di sebalik prinsip ini adalah untung dan rugi dikongsi di antara bank dan pelanggan-pelanggannya, bersandarkan kepada aset fizikal berbeza dari pinjaman berdasarkan faedah, yang mana risiko kebanyakannya ditanggung oleh peminjam.

Kaedah ini berasal dari prinsip Islam yang mementingkan serta menegakkan keadilan sosial dan amat menggalakkan prinsip ekuiti dalam sebarang transaksi kewangan, kata  Azura Othman, Ketua Pegawai Eksekutif, Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF)

Diperkasakan oleh prinsip ini, bank yang berpaksikan Islam dan kaedah Syariah amat berpandangan jauh dalam usaha mempersediakan diri dalam pelbagai situasi yang berisiko tinggi, seperti Covid-19 dan memastikan agar ianya efektif.

Analisis yang dilaporkan oleh Fitch Ratings sekali gus mengukuhkan lagi fakta bahawa perbankan Islam telah begitu bersedia untuk bersemuka dengan pelbagai krisis ekonomi. Ini diperkuatkan lagi dengan elemen fleksibiliti sektor perbankan Islam berbanding perbankan konvensional.

Menurut agensi penyelidikan antarabangsa, Pew Research, jumlah penganut Islam di dunia bertambah dua kali ganda dari populasi dunia itu sendiri.

Pada tahun 2060, dianggarkan terdapat lebih kurang 3 bilion Muslim di dunia – iaitu pertambahan sebanyak 70% berbanding tahun 2015.

Sama ada mereka berada di Asia, Eropah, Timur Tengah atau benua Afrika, generasi Muslim yang seterusnya bakal memiliki dua persamaan iaitu, usia yang muda dan teknologi yang semakin berkembang.

Menurut Azura, perkembangan institusi yang berpaksikan prinsip Syariah adalah bergantung kepada kedua-dua elemen ini dan kemampuan untuk memperkasakan generasi baru dengan inovasi dan teknologi tinggi.

Pada masa kini, sudah terdapat beberapa inisiatif untuk pembangunan kerangka pengawalseliaan antarabangsa berkenaan kewangan Islam.

Negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Qatar dan Kuwait telahpun mengambil langkah-langkah penting ke arah pemusatan dan mempermudahkan polisi pematuhan kewangan Syariah negara masing-masing.

”Di CIIF, kami melihat ini situasi ini sebagai satu peluang untuk mengembangkan potensi jangka panjang industri perbankan Islam dan prospek besar bagi Malaysia untuk menyumbangkan bakat-bakat baru yang berkemahiran tinggi di dalam bidang ini.

”Perbankan Islam menitik beratkan beberapa elemen penting seperti standard industri yang tinggi, kecanggihan ilmu pengetahuan serta kualiti servis yang amat berintegriti,” katanya.

Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab bagi pihak-pihak yang relevan untuk mempersiapkan serta membekalkan bakat-bakat baru industri dengan akreditasi dan kemahiran yang bersesuaian agar dapat memastikan kemajuan industri ini di masa hadapan.

Ini dapat direalisasikan dengan pelbagai program yang disediakan oleh CIIF, yang ditubuhkan untuk mengukuhkan kredibiliti dan meningkatkan status pakar-pakar professional di dalam bidang kewangan Islam di Malaysia.

CIIF percaya bahawa Malaysia mempunyai kemampuan besar untuk mengasah bakat-bakat baru di dalam industri kewangan Islam bukan sahaja untuk memenuhi kehendak pasaran semasa malah mengukuhkan lagi kedudukan negara ini sebagai antara pembekal utama ahli-ahli profesional yang berkualiti tinggi di dalam industri, kata Azura. – MalaysiaGazette