Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga perkampungan Mukim Bunut Susu, Pasir Mas di Kelantan yang dijadualkan tamat esok kepada 5 Jun depan.

Ketiga-tiga perkampungan terbabit adalah Kampung Paya Ular, Kampung Bechah Palas dan Kampung Tualang.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh PKPD sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 486 ujian saringan di Kampung Paya Ular dan 94 individu disahkan positif Covid-19 manakala 75 kes positif juga direkodkan di Kampung Bechah Palas hasil daripada keseluruhan 984 ujian saringan.

Jelas beliau, selain itu, KKM turut merekodkan 69 kes positif Covid-19 di Kampung
Tualang selepas melakukan 307 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut.

“Sehingga kini, KKM mendapati masih berlaku penularan serta terdapat kes baharu direkodkan di ketiga-tiga lokaliti tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di tiga perkampungan seperti dinyatakan bermula 23 Mei sehingga 5 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette