Seorang lelaki diiring anggota polis untuk didakwa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menjual mercun tanpa lesen yang sah di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap seorang bapa tiga anak kerana kerana didapati bersalah memiliki pelbagai jenis mercun tanpa kebenaran.

Tertuduh, K. Sokalingam, 58, mengaku bersalah di hadapan Majistret, Atiqah Mohamad @ Mohamad Saim selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Sekiranya denda itu gagal dibayar, tertuduh boleh dipenjara selama dua bulan dan teruduh membayar jumlah denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dalam milikannya pelbagai jenis bahan letupan antaranya iaitu tiga kotak mercun Happy Boom Red Craker, dua kotak bunga api Happy Boom Ground Boom Flower, 130 butir mercun bola dan 22 butir mercun Happy Boom yang mana tanpa kebenaran dan tujuan mengikut undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit Blok Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul di sini pukul 11 malam pada 13 Mei lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut  Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (akta 207) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu peguam Ahmad Ikram Ab. Alim yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.

“Tertuduh merupakan bapa tiga anak yang mempunyai masalah penyakit jantung. Tertuduh juga mempunyai lesen untuk menjual mercun kecuali mercun bola, ” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pemenjaraan sebagai pengajaran agar tertuduh tidak melakukan kesalahan sama selain faktor kepentingan awam.

Pada 14 Mei lalu, MalaysiaGazette melaporkan polis menahan empat lelaki tempatan yang terlibat dalam pembakaran mercun secara terbuka dan melontarkan ke arah polis yang bertugas membuat rondaan dan pemantauan di Sentul pada malam sambutan Hari Raya Aidilfitri pertama.

Tiga tangkapan pertama dibuat pukul 9 malam membabitkan penduduk berusia 44 tahun, 12 tahun dan 13 tahun serta rampasan 48 butir mercun bola daripada sebuah beg silang yang dipakai oleh remaja berusia 13 tahun.

Manakala, suspek keempat iaitu penjual mercun itu ditangkap dua jam kemudian sekitar 11 malam di premis di Blok 39 pangsapuri sama kerana menjual mercun tanpa lesen sah sebelum kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis sementara melengkapkan kertas siasatan.

Pada 15 Mei lalu, polis mengesahkan tangkapan empat remaja bersekolah yang terlibat langsung dalam perbuatan membakar dan membaling mercun ke atas polis dalam kes tersebut.

Mereka ditangkap di pangsapuri Sri Perak di Sentul antara pukul 10 malam hingga 3 pagi dan kesemua mereka berusia 14 hingga 16 tahun.

Mereka adalah rakan satu sekolah menengah yang masih belajar dan mengaku bertanggungjawab membaling mercun berbentuk bola ke arah polis kerana kecewa polis mengganggu keseronokan dan aktiviti membakar mercun di pangsapuri itu semasa kejadian.

Mereka telah direman tiga hari sehingga semalam untuk polis melengkapkan kertas siasatan.-MalaysiaGazette