Datuk Arjunaidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis Selangor akan memanggil semua individu dalam gambar jamuan raya di didakwa diadakan di rumah seorang pemimpin Exco kerajaan Selangor yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam perkembangan terkini kes itu, pihaknya telah membuat satu laporan polis selepas gambar-gambar kes berkaitan yang didakwa berlaku perlanggaran prosedur operasi standard ziarah raya telah tular dalam media sosial.

“Polis sedang menyiasat insiden itu dan kertas siasatan pada petang semalam selepas laporan polis dibuat kami. Kita setakat ini belum mengambil keterangan dari mana-mana individu lagi kerana kita sedang menyiasat dan dalam proses mendapatkan pemimpin serta individu yang menjadi tetamu raya di rumah itu.

“Selepas kesemua proses itu diselesaikan barulah kita akan memanggil semua individu yang terlibat termasuk exco negeri Selangor itu akan dipanggil untuk dirakam keterangan,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

BACA: Polis siasat exco Selangor ingkar SOP adakan majlis raya

Beliau berkata demikian semasa ditanya pemberita mengenai perkembangan terbaharu siasatan kes itu.

“Beri ruang kepada kita untuk siasat dulu kes ini dan apabila tiba masanya nanti kita akan memanggil kesemua orang yang terlibat.

“Jika didapati bersalah dan wujud perlanggaran SOP, tindakan akan diambil berlunaskan undang-undang yang diperuntukkan tanpa kompromi,” ujarnya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, perkara itu dikesan oleh polis sekitar jam 5.45 petang pada Khamis selepas ditularkan di laman Twitter.

Tambah beliau, kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Gambar yang dimuat naik @SuzieMusa itu mendakwa terdapat seorang Yang Berhormat (YB) bertaraf Exco di Selangor dalam satu majlis sambutan hari raya di rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat,” katanya.-MalaysiaGazette