Gambar hiasan.

KLANG – Seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor disiasat oleh polis selepas pemimpin itu dikatakan telah mengingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengadakan majlis sambutan hari raya di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, perkara itu dikesan oleh polis sekitar jam 5.45 petang pada Khamis selepas ditularkan di laman Twitter.

“Gambar yang dimuat naik @SuzieMusa itu mendakwa terdapat seorang Yang Berhormat (YB) bertaraf Exco di Selangor dalam satu majlis sambutan hari raya di rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan kita sedang menyiasat kejadian itu,” katanya.

Tambah beliau kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. – MalaysiaGazette