ACP Abd Khalid Othman

KUALA LUMPUR – Tujuh warga Nigeria yang menjadi dalang sindiket penipuan parcel scam ditumpaskan selepas polis menyerbu dua buah kediaman di Semenyih dan Dengkil pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, seorang lelaki warga Nigeria yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di susur masuk Plaza Tol Putra Heights kira-kira pukul 10 pagi ditahan anggota bertugas dan pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Menurut beliau, pihaknya turut ditemui adalah tiga kad bank milik individu berlainan.

“Semakan lanjut mendapati salah satu daripada tiga kad bank yang dijumpai bersangkut laporan Bukit Puchong dan tangkapan telah dibuat ke atas lelaki terbabit.

“Ekoran daripada tangkapan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah menyerbu kediaman suspek di Semenyih dan menemukan barang-barang berkaitan laporan polis berkenaan.

“Manakala tiga lelaki dan tiga wanita warga Nigeria pula ditahan ketika serbuan di Dengkil dengan rampasan melibatkan kad ATM pelbagai jenis bank dan nombor akaun,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelas Abd Khalid, hasil semakan yang dibuat melalui Commercial Crime Intelligence System (CCIS) mendapati terdapat 26 rekod kes penipuan di seluruh negara melibatkan kerugian kira-kira RM390,000.

Dalam pada itu, Abd Khalid turut menasihati orang awam supaya tidak menyerahkan kad ATM atau sebarang maklumat akaun kepada individu tidak dikenali selain tidak mudah terpedaya dengan apa-apa tawaran di media sosial.

“Bermula Januari hingga kini terdapat sebanyak 16 laporan polis melibatkan kes penipuan parcel scam di Subang Jaya melibatkan kerugian berjumlah RM404,088.

“Pihak polis memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang terlibat dalam aktiviti sedemikian dan kita juga memohon mereka yang mempunyai maklumat berkaitan dengan jenayah komersil supaya tampil dan membantu pihak polis dalam membanteras jenayah penipuan ini,” ujarnya.

Tambah Abd Khalid, sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah penipuan boleh disalurkan kepada polis di talian 03-56210343 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – MalaysiaGazette