Petugas kesihatan membawa masuk tangki oksigen untuk pesakit Covid-19 yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Bekalan gas oksigen perubatan di fasiliti kesihatan mencukupi meskipun keperluannya meningkat akibat pertambahan kes Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pembekalan gas perubatan oksigen ke fasiliti-fasiliti kesihatan dilakukan secara berkala mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Jelasnya, pihak pembekal mampu untuk memenuhi permintaan pembekalan di luar jangka, bahkan mempunyak bekalan lima kali ganda daripada permintaan sedia ada.

“Pihak KKM dari semasa ke semasa mengadakan sesi libat urus bersama dengan pihak pembekal dalam menangani isu pertambahan keperluan bekalan gas perubatan oksigen.

“Pada masa kini, pengurusan sistem gas perubatan oksigen di fasiliti kesihatan menggunakan tangki VIE (vacuum insulated evaporator) dan juga portable cylinder yang mana pembekalan cecair oksigen untuk tangki VIE adalah mencukupi dan pihak pembekal mempunyai kemampuan untuk menghasilkan bekalan cecair oksigen lima kali ganda daripada permintaan sedia ada.

“Manakala, bilangan portable cylinder juga adalah mencukupi dan masih mempunyai 20,000 unit portable cylinder dalam simpanan dan boleh digunakan pada bila-bila masa apabila diperlukan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Adham, bagi bekalan gas dalam bentuk portable cylinder, pembekal masih mempunyai 500,000 unit, yang boleh diubah suai dalam tempoh yang singkat mengikut piawaian untuk kegunaan gas perubatan oksigen.

Katanya, pengurusan sistem gas perubatan oksigen di Malaysia amnya dan di fasiliti kesihatan khususnya adalah mematuhi Malaysian Standard (MS2675:2017 dan MS2542:2013) serta piawaian antarabangsa yang berkaitan serta dikendalikan oleh kakitangan yang kompeten.

Ujar Adham, KKM sentiasa memantau pengurusan sistem gas perubatan
di fasiliti kesihatan supaya tidak menjejaskan pengoperasian klinikal di fasiliti kesihatan.-MalaysiaGazette