Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang jururawat mendakwa kerugian RM10,422, setelah diperdaya dalam urusan pembelian barang kemas menerusi laman sosial Instagram, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 33 tahun mendakwa berminat membeli seutas gelang tangan yang diiklankan pada harga RM422.

“Mangsa mendakwa telah menghubungi seorang wanita pada hari yang sama untuk urusan pembayaran sebelum dimaklumkan dia perlu membuat bayaran tambahan sebagai caj pentadbiran dan penghantaran.

“Mangsa dikatakan telah membuat tiga transaksi pemindahan wang ke akaun diberikan suspek pada Khamis dan Jumaat, namun mendakwa sehingga kini masih belum menerima gelang tangan itu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang turut gagal menghubungi suspek membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – Bernama