Leftenan Jeneral Ibrahim Attahir

ABUJA – Ketua tentera Nigeria, Leftenan Jeneral Ibrahim Attahiru maut dalam kemalangan yang membabitkan sebuah pesawat ketika beliau melakukan lawatan rasmi ke negeri Kaduna yang menghadapi cabaran keselamatan sejak kebelakangan ini, kata Presiden negara tersebut.

Menurut kenyataan tentera udara, pesawat tersebut terhempas berhampiran lapangan terbang Kaduna yang terletak di utara negara tersebut dan ia sedang menyiasat punca kejadian, lapor Reuters.

President Muhammadu Buhari berkata, ketua tentera itu dan beberapa pegawai tentera terkorban dalam kemalangan yang berlaku semalam.

Presiden itu dalam satu kenyataan menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘satu tamparan ketika tentera mahu menamatkan cabaran keselamatan yang dihadapi negara’.

Kemalangan tersebut berlaku tiga bulan selepas sebuah pesawat kecil tentera udara Nigeria terhempas berhampiran lapangan terbang Abuja berikutan kegagalan enjin yang menyebabkan kesemua tujuh penumpang terbunuh.

Nigeria, negara Afrika paling ramai penduduk, mempunyai rekod keselamatan udara yang buruk walaupun tahapnya telah meningkat sejak kebelakangan ini.

Buhari melantik Attahiru dan ketua tentera lain pada Januari lalu selepas bertahun-tahun menghadapi kritikan terhadap keganasan oleh pemberontak dan kumpulan bersenjata.

Kumpulan Boko Haram dan Daesh di wilayah Afrika Barat yang telah melakukan pemberontakan selama sedekad mengakibatkan kira-kira dua juta orang kehilangan tempat tinggal dan lebih 30,000 terbunuh. – MalaysiaGazette