Keadaan kilang pembuatan mee semasa Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 446 dan Akta 342 di kawasan perusahaan Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Lebih ramai rakyat akan hilang pekerjaan sekiranya syarikat dan industri yang besar tidak dibenarkan beroperasi seperti yang berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu merupakan antara aspek yang dipertimbangkan kerajaan selain, prihatin terhadap nasib peniaga kecil.

“Sewaktu PKP 1.0 kita dengar di media sosial dan sebagainya melaporkan ada keluarga terpaksa makan nasi dengan air gram sahaja untuk hidup ini merupakan perkara realiti yang berlaku terutama golongan miskin dan B40. Jadi sebab itulah kita berpandangan perkara ini perlu diambil kira.

“Ramai kata kenapa tidak tutup saja syarikat-syarikat besar dan industri-industri besar dan sebagainya. Saya difahamkan jika ditutup tidak dibenarkan melakukan perniagaan mungkin ada syarikat-syarikat besar ini terpaksa menutup perniagaan mereka dan kesannya bukan setakat kepada tuan punya syarikat tersebut tetapi kesannya kepada pekerja-pekerja.

“Saya percaya ramai pekerja yang akan hilang pekerjaan (jika PKP penuh dilaksanakan),” katanya ketika sidang media khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya, apakah justifikasi lain yang dipertimbangkan oleh kerajaan apabila membuat keputusan tidak melaksanakan PKP penuh kali ini, walaupun kes harian Covid-19 mencecah 6,000 setiap hari.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kepentingan rakyat untuk meneruskan hidup juga perlu dipertimbangkan selain kepentingan aspek kesihatan.

Ujar beliau, kerajaan tidak mahu lebih 800,000 rakyat hilang pekerjaan berulang lagi kali ini.

“Sewaktu PKP 1.0 lebih kurang 800,000 pekerja hilang pekerjaan, bermakna tiada pendapatan. Jadi persoalannya bagaimana rakyat kita nak teruskan hidup yang kena buang kerja, yang hilang pendapatan harian

“Sebab itulah kita buat keputusan tidak buat total lockdown (PKP penuh) tetapi memperketatkan dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP),” tambah beliau.-MalaysiaGazette