Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelajar sebuah universiti tempatan di Melaka hari ini mempersoalkan langkah pengasingan pelajar ekoran penularan Covid-19.

Beberapa pelajar yang mengadu kepada MalaysiaGazette berkata, mereka diletakkan bersama-sama pelajar yang diasingkan selepas pulang dari kampung sempena cuti Aidilfitri lalu.

Menurut seorang pelajar jurusan eletrik yang enggan dikenali berkata, beliau terkejut selepas pulang ke asrama dan diarahkan untuk tinggal bersama pelajar yang tidak pulang berhari raya di kampung.

Beliau yang pulang ke universiti itu pada Khamis lalu turut mempersoalkan keberkesanan sistem pengasingan yang dilaksanakan oleh universiti terbabit.

“Saya diasingkan di bilik lain, bukan bilik asal, pihak universiti campur pelajar yang balik berhari raya dan jalani pengasingan dengan pelajar yang tidak pulang atas alasan bilik asrama tidak mencukupi.

“Apa fungsi pengasingan kalau duduk bersama-sama mereka yang tidak kuarantin,” kata pelajar perempuan itu kepada MalaysiaGazette.

Malah menurut beliau, mereka tidak dibenarkan untuk kembali ke bilik asal disebabkan oleh pelaksanaan pengasingan tersebut.

Pelajar berkenaan berkata, dia dikehendaki menandatangani akujanji (Pilihan Tidak Berpindah ke Kolej Kediaman) oleh pihak pentadbiran universiti.

Surat itu diberikan Unit Penempatan Pelajar, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Surat itu rata-ratanya memberitahu bahawa mereka yang tidak pulang ke kampung sempena Aidilfitri diminta untuk berpindah ke kediaman sementara bagi menghalang dan mengelakkan sebarang risiko penularan wabak Covid-19 di universiti tersebut.

Malah surat berkenaan juga memberitahu bahawa mereka dikehendaki melalui tempoh pengasingan bersama pelajar yang kembali ke kampus setelah pulang berhari raya.

Mereka juga disyorkan untuk mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan berkaitan pengasingan penginapan.

Antara rungutan pelajar mengenai sistem pengasingan Covid-19 yang dilaksanakan pihak pengurusan universiti.

Menurut seorang pelajar yang tidak pulang berhari raya berkata, beliau dikehendaki menjalani tempoh pengasingan yang sama walaupun tidak pulang ke kampung.

Malah menurut pelajar tahun pertama itu, beliau dikehendaki tinggal bersama-sama pelajar-pelajar yang pulang berhari raya dan berkongsi ruang tamu dan bilik air yang sama.

“Apa tujuan pihak universiti mengasingkan pelajar jika akhirnya kami diletakkan di unit yang sama berkongsi ruang umum yang sama seperti bilik mandi dan ruang rehat.

“Pengurusan juga menjamin bahawa bilik kami di bangunan asal ini tidak akan didiami oleh pelajar menjalani pengasingan namun kini sebaliknya yang berlaku,” katanya.

Malah menurut respon yang diberikan oleh Jawatankuasa Siswa (JAKSIS), pihak pengurusan memberikan alasan bahawa tiada pelajar yang akan tinggal di bilik asal mereka kerana pelajar yang dikuarantinkan akan ditempatkan di bilik-bilik kosong kawasan lain.

Pihak MalaysiaGazette sedang mendapatkan respon pihak berwajib dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung isu ini. – MalaysiaGazette