Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa dukacitanya terhadap peningkatan kes positif Covid-19.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau akan memantau situasi semasa di kawasan Parlimennya dengan melaksanakan penyelarasan dan koordinasi dengan jabatan-jabatan terlibat.

“Saya juga mengharapkan kita dapat mengenepikan sebarang perbedaan di kalangan kita. Bahawa kita seluruh penduduk Bagan Datuk hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya tanpa mengira agama, kaum dan parti politik. Marilah kita bersatu dalam membendung wabak ini agar tidak terus merebak dan lenyap dari negara kita.

“Saya doakan semoga yang telah dijangkiti cepat sembuh dan sihat seperti sediakala. Bersama kita menjaga kesihatan diri dan keluarga kita dari wabak Covid-19,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Beliau dalam masa yang sama menyeru penduduk di Bagan Datuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengekang penularan virus Covid-19.

“Sebagai Ahli Parlimen saya menyeru seluruh penduduk Bagan Datuk agar mengikuti sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib. Kita hendaklah mengelakkan daripada bertemu dan berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai buat masa ini bagi mengelak penularan wabak Covid-19,” tambah Ahmad Zahid.

Menurut Ahmad Zahid, sehingga 21 Mei 2021 sebanyak 454  orang yang telah dikuarantin di kawasa Parlimennya, dengan jumlah yang positif Covid-19 seramai 136 kes manakala seorang meninggal dunia. – MalaysiaGazette