Lelaki bawa pisau serta ganggu jemaah masjid menunaikan solat diberkas polis.

GEORGE TOWN – Polis menahan seorang lelaki yang bertindak mengganggu jemaah menunaikan solat di Masjid At Taqwa, Taman Tun Sardon, Gelugor di sini semalam.

Bertindak atas maklumat dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menahan suspek berusia 35 tahun pada jam 8.25 malam.

Polis menahan suspek susulan membawa pisau selain mengganggu jemaah masjid.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, anggota dikerahkan ke lokasi selepas pihak polis menerima aduan mengatakan suspek berlegar dalam masjid sambil memegang sebilah pisau.

Jelas beliau, suspek juga dikatakan mengganggu jemaah di dalam masjid tersebut yang ingin menunaikan solat.

Hasil pemeriksaan ke atas beg sandang miliknya membawa kepada penemuan sebilah pisau.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek yang lengkap berbaju Melayu itu, pihak polis menemui sebilah pisau berukuran 33 sentimeter yang disimpan dalam beg sandangnya.

“Semakan ke atas suspek yang beralamat di Bayan Baru itu juga mendapati dia mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Soffian, suspek direman selam tiga hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” ujar beliau. – MalaysiaGazette