Keadaan jalan utama di ibu kota kelihatan lengang pada hari kedua perayaan Aidilfitri berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Tiada jaminan penularan Covid-19 dapat dikekang sekiranya kilang-kilang tetap beroperasi walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan.

Ia berdasarkan data yang menunjukkan kilang-kilang merupakan penyumbang terbesar penularan jangkitan virus tersebut iaitu sebanyak 50 peratus.

Justeru itu Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, rakyat kecewa apabila kerajaan tidak melaksanakan PKP secara menyeluruh.

Jelas beliau, ini kerana rakyat rela untuk PKP menyeluruh dilaksanakan dalam keadaan penularan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Dengan peningkatan kes Covid-19 yang kian parah, rakyat lebih rela Total Lockdown untuk tempoh 14 hingga 21 hari berbanding hadapi situasi PKP berulang kali bagaikan tiada kesudahan. #BiarSusahSekaliBukanBerkalikali,” katanya menerusi laman Facebook.

Oleh itu, Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi meminta kerajaan menilai semula keputusan tidak melaksanakan PKP secara sepenuhnya sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, tindakan kerajaan itu akan memberikan persepsi bahawa tauke-tauke besar dan para kapitalis memaksimumkan keuntungan dengan memberi tumpuan yang lebih kepada mereka berbanding rakyat.

“Realitinya, pekerja-pekerja kilang bukan tinggal dalam kompaun kilang. Mereka tinggal dalam komuniti, berbeli belah di pasaraya sama dengan masyarakat. Contoh di kawasan saya tinggal Petaling Jaya, pekerja kilang tinggal di flat-flat, berbeli belah di Giant, Tesco, Bintang seperti orang lain,” kata Asyraf lagi.

Ujar beliau, adalah lebih baik kerajaan mengutamakan usaha menangani Covid-19 sehingga ke tahap sangat minimum daripada berterusan mengenakan PKP ‘separuh masa’’ yang pada akhirnya akan menyukarkan usaha memulihkan ekonomi untuk jangka panjang.

Semalam Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan berkata, kerajaan akan melaksanakan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial yang sedang dilaksanakan di bawah PKP 3.0 untuk membendung penularan wabak Covid-19. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ko ni mcm2 la..
    Bila atau baru dgr tutup macam2 ko minta..
    Bila tak tutup pun macam2 ko komen..
    Bilq buka lagi la macam2 ko nak..
    Tukar la nama n jawatan tu ke
    Dasuki macam2..senang org kenal

Comments are closed.