BATU PAHAT – Lagak seorang remaja wanita yang membuat aksi wheelie sambil menunjuk isyarat peace ketika menunggang motosikal dengan membonceng seorang lelaki menjerat diri sendiri apabila kedua-dua mereka ditahan polis petang semalam.

Aksi remaja berkenaan yang tular di laman Facebook sejak semalam mendapat pelbagai reaksi daripada natizen.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah ketika dihubungi berkata, wanita berusia 21 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun tahun telah ditahan di rumah masing-masing di Jalan Pantai, di sini.

“Kita juga telah menyita motosikal berkenaan. Tangkapan dibuat selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengesan satu video memaparkan aksi itu dalam laman sosial pada jam 2.30 petang semalam (Jumaat).

“Hasil siasatan kami mendapati aksi wheelie yang berdurasi selama 31 saat berlaku pada 4.45 petang, 10 Mei lalu di Jalan Dato’ Syed Esa, di sini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah

Bagaimanapun, kedua-dua remaja tersebut kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020).

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Pihak polis, katanya, menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melakukan aksi yang boleh membahayakan nyawa sendiri atau orang lain dan ibu bapa diminta memantau anak-anak mereka. – MalaysiaGazette