Sebuah kedai emas yang disyaki disamun oleh dua lelaki bermotosikal dalam kejadian semalam di Seri Kembangan, Selangor.

KUALA LUMPUR – Sebuah kedai emas di Seri Kembangan dipecah masuk oleh dua lelaki bermotosikal dalam satu kejadian semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 2.31 petang.

“Kejadian samun itu disyaki dilakukan oleh dua lelaki yang masih belum dikenal pasti identiti dan telah melarikan sejumlah barang kemas selepas memecahkan cermin kedai emas dengan menggunakan objek tumpul.

“Suspek kemudiannya telah melarikan diri menggunakan dua buah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Rosdi berkata, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – Malaysia Gazette