Gambar Hiasan

KOTA KINABALU – Bekalan darah di Sabah kini berada pada tahap kritikal, antara lain disebabkan penularan Covid-19 yang menyebabkan kempen derma darah terpaksa ditangguhkan selain selain kegusaran orang ramai untuk keluar menderma kata Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah).

Presidennya Alix Sunggin berkata, ini berikutan beberapa kempen menderma darah yang dirancang antaranya oleh badan berkanun kerajaan dan badan bukan kerajaan, terutama di kawasan awam, terpaksa ditangguhkan buat masa ini atas sebab keselamatan akibat penularan pandemik itu.

“Pihak hospital terpaksa menghubungi penderma supaya datang ke pusat tabung darah kerana ada antara mereka ragu-ragu keluar rumah disebabkan takut dijangkiti penyakit itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun sebelum ini dilaporkan berkata akibat penularan COVID-19, bekalan darah di Sabah merosot sebanyak 20 peratus tahun ini berikutan pembatalan lebih 200 kempen derma darah yang melibatkan sasaran awal 6,000 pendermaan.

Alix berkata pelbagai inisiatif telah dilakukan agar bekalan darah sentiasa mencukupi termasuk menawarkan polisi kesihatan bagi mereka yang menderma darah secara konsisten seperti keutamaan pemberian vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini dilaporkan berkata penderma darah yang sudah menderma sebanyak lebih 50 kali akan diletakkan dalam senarai utama menerima suntikan vaksin COVID-19.

Selain itu, Alix berkata, Pendarah mengambil inisiatif untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menganjurkan kempen derma darah, bukan sahaja di bandar raya ini tetapi juga di daerah-daerah lain termasuk di kampung-kampung pedalaman. – MalaysiaGazette