Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua pendeposit Lembaga Tabung Haji yang memilih untuk berurusan di kaunter perlu membuat temu janji terlebih dahulu sebelum hadir di mana mana 123 pejabat cawangan TH seluruh Malaysia bermula 25 ini selaras dengan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP).

Pendeposit boleh membuat janji temu dengan melayari laman web TH di www.tabunghaji.gov.my dan klik di menu pilihan urusan janji temu yang
akan dimuat naik bermula pada 24 Mei 2021.

Katanya, pendeposit yang hadir hendaklah memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi dengan sentiasa memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di ruangan pejabat.

Bilangan pendeposit dalam ruangan pejabat juga akan dihadkan bagi memastikan SOP terpelihara.

Pendeposit perlu mendaftar masuk dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis TH, kata Mustakim Mohamad, Pengarah Eksekutif Operasi TH.

Para pendeposit boleh membuat janji temu untuk berurusan di kaunter bermula jam 9.30 pagi sehingga 1 petang setiap hari (kecuali cuti umum dan mingguan).

TH turut menasihatkan dan amat menggalakan pendepositnya mengguna pakai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan melalui THiJARI yang disediakan TH dan pendepositnya juga boleh memilih saluran perkhidmatan elektronik dan dalam talian bank Rakan Strategik TH dan Ejen Kutipan TH di lebih 10 ribu titik sentuh seluruh negara, terutama sepanjang tempoh PKP 3.0 ini.

Bagi para pendeposit yang ingin mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat awal berkaitan Hibah Amanah dan urusan Pusaka, TH juga menyediakan kemudahan panggilan semula (call back) yang turut boleh diakses melalui laman web TH. – MalaysiaGazette