Thigarajan A/L Rengathan bercakap pada sidang media berkenaan "Sejauh Manakah Keberkesanan Inisiatif dan Usaha Kerajaan Terhadap Indusri Bas dan Pelancongan Negara" akibat pandemik Covid-19 di Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 26 MAC 2021.

Kuala Lumpur – Kerajaan harus memberi bantuan dan mengambil satu inisiatif yang serius dalam membantu permasalahan yang dihadapi industri bas dan pelancongan negara.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), Thiagarajan A/L Rengathan berkata, pengusaha-pengusaha industri bas dan pelancongan negara kini telah kehilangan sumber pendapatan sepenuhnya akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak konsisten sebelum ini.

Thiagarajan berkata, tindakan kerajaan mengumumkan penambahan sekatan pergerakan khususnya bagi sektor ekonomi semalam akan menyebabkan industri bas dan pelancongan negara lumpuh untuk tempoh masa yang panjang.

Tegasnya, jika kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berskala penuh atau ‘total lockdown’, SGBM menggesa supaya pemberian moratorium secara automatik diberikan kepada penggiat industri bas dan pelancongan negara.

‘”SGBM ingin menegaskan bahawa pengusaha-pengusaha industri bas dan pelancongan negara telah kehilangan sumber pendapatan sepenuhnya akibat pelaksanaan PKP yang tidak konsisten dan seakan-akan tidak menghiraukan nasib industri ini.

”Pelaksanaan PKP 1.0 telah melengkungkan kes pada tahap yang rendah namun pelaksanaan PKP 2.0 dan seterusnya tidak begitu ketat malah pihak SGBM berpendapat
pelaksanaan tersebut berat sebelah pada industri-industri yang besar seperti perkilangan dan pembinaan.

“Sedangkan industri bas dan pelancongan negara telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menerus sebelum ini namun nasib industri ini tidak terbela akibat pandemik Covid-19,” katanya di sini.

Beliau turut menegur institusi perbankan agar bersikap adil dan holistik dengan memberi bantuan moratorium tanpa syarat kerana pengiat-pengiat industri berkenaan yang telah lumpuh sepenuhnya.

Pinjaman untuk modal pusingan bagi industri bas da pelacongan negara harus dipermudahkan dan diperlonggarkan.

Ujarnya, bank-bank komersial harus menghulurkan bantuan pinjaman bagi membantu pengiatpengiat industri dapat mempertahankan perniagaan mereka daripada muflis.

Thiagarajan juga menuntut Skim Rehabilitasi Bas Dan Teksi yang diumumkan dalam PEMERKASA perlu dilaksanakan segera dan  menyeluruh.

Beliau juga mahu syarat-syarat skim tersebut harus dilonggarkan.

Seperti yang pernah dibangkitkan SGBM sebelum ini, beliau juga meminta penjelasan dan data terperinci daripada pihak yang terlibat mengenai status pemberian bantuan buat industri pelancongan dalam PENJANA yang diperuntukkan sebanyak RM1 billion.

Ini kerana, beliau mendakwa peruntukan tersebut tidak disalurkan sepenuhnya kepada semua pengusaha dan pemandu bas sekolah, bas persiaran, bas ekspres, bas catar, bas berhenti-henti, bas pekerja dan agensi pelancongan.

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) harus mengambil tanggungjawab bersama dalam mengenal pasti permasalahan industri serta mengarahkan agensi-agensi berkaitan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat, Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk memberi diskaun dan kelonggaran dalam urusan-urusan yang berkaitan.

Kata Thiagarajan, peserta industri bas dan pelancongan negara menyokong tindakan kerajaan dalam usaha melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 di negara ini, namun mereka merayu supaya nasib mereka juga diberi perhatian.

Lantaran itu, SGBM merayu serta mengesa agar pihak kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Industri Bas Dan Pelancongan Negara yang dianggotai oleh pertubuhan bas, pertubuhan pelancongan yang bebas dari sebarang kepentingan atau agenda tersendiri bagi bersama-sama membantu menyelamatkan industri bas dan pelancongan negara. – MalaysiaGazette