Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rata-rata peniaga dan penjaja yang mencari rezeki di sekitar ibu negara mampu menarik nafas lega apabila kerajaan masih membenarkan sektor berkenaan meneruskan operasi.

Ia susulan kerajaan memutuskan untuk mengetatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan menambah sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial bermula Selasa ini.

Peniaga kopi, Hazlan Yaakup, 45, bersyukur berikutan kerajaan masih membenarkan sektor ekonomi berjalan seperti biasa walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Hazlan Yaakup

“Syukur Alhamdullilah kami dapat berniaga kalau tidak memang buntu kerana kalau tidak berniaga mana kami nak cari rezeki sebab ini saja harapan kami.

“Bila kerajaan umumkan memang boleh berniaga seperti biasa memang kami berterima kasih sangat. Kami peniaga harian di sini mula berniaga sekitar 11 pagi sehingga 7 malam sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bandar Sri Permaisuri hari ini.

Syed Umar Syed Zainal Abidin

Sementara itu, pemilik Restoran Warisan Bonda, Syed Umar Syed Zainal Abidin, 48, berkata, pengumuman yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini memberi kesan terhadap peniaga restoran apabila pelanggan tidak lagi dibenarkan untuk ‘dine-in’.

Justeru, dia terpaksa mencari alternatif lain dengan berniaga di tepi jalan bagi meneruskan kelangsungan perniagaan yang diusahakannya.

“Kedai saya di Seri Kembangan, Selangor jadi terpaksa datang ke sini kerana Kuala Lumpur masih benarkan untuk berniaga dengan lesen di tepi jalan. Saya ada tiga buah trak kecil dan semuanya di sekitar kawasan ini.

“Pada pendapat saya, apabila waktu perniagaan dipendekkan dua jam lebih awal sebenarnya memberi kesan terhadap peniaga lebih-lebih lagi mereka yang mula berniaga pada waktu petang jadi masanya lebih pendek dan kurang sesuai,” ujarnya.

Haniza Burhan

Manakala bagi peniaga nasi lemak, Haniza Burhan, 36, walaupun berasa lega dengan pengumuman semalam namun dia juga tidak menolak sekiranya kerajaan ingin mengambil langkah melaksanakan ‘total lockdown’ di seluruh negara.

Kata Haniza, ini kerana peniaga merupakan antara golongan berisiko terhadap jangkitan Covid-19 kerana perlu berhadapan dengan orang ramai.

“Kita memang lega selepas dengar pengumuman semalam cuma andai kata kerajaan mahu ‘total lockdown‘ pun kami ikut sahaja kerana kita sebagai peniaga memang ramai berjumpa dengan pelanggan dan sebagainya jadi terdedah kepada risiko.

“Tetapi apakan daya sudah lumrah kerana kalau tidak berniaga maka tiada lah duit sebab kita pun ada pekerja yang perlu dibayar termasuk modal yang dikeluarkan sebelum ini untuk berniaga,” ujarnya.

Tambah Haniza lagi, selepas penguatkuasaan PKP 3.0 tempoh hari, bilangan pelanggannya juga semakin berkurangan.

“Pelanggan memang dah kurang jadi semalam apabila diumumkan SOP makin diperketat maka orang ramai lagi takut untuk keluar rumah.

“Jadi kami pun kena ikut trend semasa iaitu memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan servis penghantaran ke rumah,” katanya.

Yati Suwarno

Peniaga makanan, Yati Suwarno, 52, mengakui dia tidak tidur lena memikirkan bentuk pengumuman yang akan dimaklumkan oleh kerajaan kerana hanya bergantung harapan dengan perniagaan yang diusahakan.

“Alhamdulillah meskipun sebelum ini memang banyak dengar mengenai ‘total lockdow’ dan sebagainya namun rupanya tidak.

“Ini kerana malam sebelum pengumuman memang saya tak boleh nak tidur lena sebab risau apa akan jadi dan bagaimana hendak berniaga.

“Sudahlah pelanggan pun makin berkurangan sejak kebelakangan ini. Apa pun memang syukur sangat kerana masih ada ruang untuk berniaga,” katanya. – MalaysiaGazette