William Ng

KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) menantikan pengumuman lebih lanjut dari kerajaan untuk pakej sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memandangkan kebanyakan daripada mereka sudah mula terdesak selepas memiliki simpanan untuk satu bulan lagi sahaja.

Pengerusi Dasar dan Perhubungan Kerajaan SAMENTA, Datuk William Ng memberitahu ada PKS, hanya mempunyai simpanan untuk bertahan sebulan sahaja lagi bagi membayar gaji, sewa dan utiliti.

“Kita menyeru semua ahli dan PKS lain untuk mematuhi SOP yang lebih ketat ini, serta membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah, dan jika ini tidak dapat dilaksanakan, cuba pastikan protokol jarak keselamatan dan fizikal diadakan” katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai respons kepada keputusan kerajaan bagi penguatkuasaan SOP PKP yang lebih ketat.

SAMENTA sekali lagi menggesa kerajaan untuk menggerakkan kerajaan negeri dan sektor swasta dalam program imunisasi nasional.

“Kemudahan yang ada pada kerajaan negeri dan sektor swasta boleh digunakan bagi mempercepatkan pendaftaran dan inokulasi berikutnya, sebaik sahaja bekalan vaksin tempatan dipenuhi semula,” katanya.

Sementara itu, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dalam satu kenyataan berasingan memberitahu bahawa majikan perlu  mematuhi SOP terbaharu yang ketat di bawah PKP 3.0 yang memerlukan 40 peratus pekerja sektor swasta bekerja dari rumah dan memendekkan waktu perniagaan sebagai sebahagian daripada strategi bagi mengawal COVID-19.

Sebelum ini, majikan hanya dihadkan kepada 30 peratus kakitangan pengurusan hadir di tempat kerja, tetapi sekarang kehadiran dikurangkan kepada 60 peratus daripada jumlah kakitangan.

“Dalam beberapa hal mengenai arahan bekerja dari rumah membabitkan swasta, ada kerja yang tidak boleh dibuat dari rumah dan kita berharap kerajaan akan menyediakan garis panduan yang fleksibel bagi majikan serta pekerja untuk menyelesaikan masalah terkait apabila ada kakitangan yang tidak diizinkan untuk datang bekerja.

“Majikan juga perlu mengingatkan kakitangan mereka agar tidak menyalahgunakan surat izin dan permit atau tindakan tatatertib boleh diambil kerana ketidakpatuhan SOP di dalam dan di luar premis kerja.

“Sekiranya perlu, ini boleh dibuat berdasarkan sejarah pergerakan aplikasi MySejahtera,” kata Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman. – MalaysiaGazette