12 suspek ditahan terlibat kegiatan perjudian haram sekitar Daerah Seberang Perai Utara.

KEPALA BATAS – Seramai 12 individu yang terlibat dalam kegiatan loteri haram serta ‘bookie’ lumba kuda diberkas dalam beberapa serbuan di sini semalam.

Serbuan berakhir jam 5.15 petang itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat  (D7), IPD Seberang Perai Utara dengan kerjasama dari D7 IPK Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan membabitkan 11 premis itu dilakukan sekitar Butterworth, Mak Mandin dan Sungai Dua.

Hasil serbuan membawa kepada tangkapan 12 suspek yang terdiri daripda sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 17 hingga 69 tahun.

Antara peralatan digunakan suspek bagi kegiatan loteri haram yang dirampas pihak polis.

“Dalam serbuan itu, pihak polis merampas 12 slip kertas yang disyaki angka judi loteri haram, 15 buah telefon bimbit, enam mesin pencetak mudah alih serta beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan perjudian tersebut.

“Kesemua tangkapan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 serta Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noorzainy, polis juga telah membuat permohonan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad untuk membuat pemotongan bekalan elektrik ke atas semua premis-premis yang diserbu mengikut peruntukan di bawah Seksyen 21A (1) ARJT 1953 bagi memastikan aktiviti judi khususnya judi loteri awam dan kegiatan perjudian online ini dapat dibanteras secara sepenuhnya. – MalaysiaGazette