ACP Mohd Zaid Hassan decayed body Jalan Broga drain
Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Polis sedang memburu seorang wanita dikenali sebagai Aqila Yusri yang dipercayai terbabit dalam penularan video mendakwa punca kematian pemanah negara, Allahyarham Mohd Haziq Kamaruddin berpunca dari saluran darah tersumbat akibat pengambilan vaksin Covid-19 AstraZeneca.

Malah, individu yang sedang dicari polis dalam rakaman video berdurasi tiga minit 34 saat berkenaan juga menuduh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyembunyikan punca sebenar kematian Haziq.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis mengenai rakaman video tular oleh wanita itu daripada seorang pelajar perempuan pada 22 Mei lalu.

“Siasatan awal mendapati rakaman video berkenaan dimuatnaik menerusi status WhatsApp milik penama Aqila Yusri, selain dalam Instagram @agilayusri.

“Hasil penelitian ke atas video tular itu mendapati terdapat seorang wanita mendakwa kematian Allahyarham Haziq berpunca daripada saluran darah tersumbat akibat pengambilan vaksin AstraZeneca.

“Terdapat juga dakwaan bahawa KKM melaporkan jumlah kes positif yang tidak tepat,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, pihak polis kini sedang mengesan suspek yang terbabit dalam rakaman video berkenaan.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998. – MalaysiaGazette