Penyunting Video, Mohd Izzat Hasim bekerja dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Damansara Perdana, Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 22 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Penjawat awam akan terus mengekalkan produktiviti kerja pada tahap terbaik khususnya melibatkan khidmat yang berkaitan dengan rakyat dan negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan terus berjalan seperti biasa bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat  berjalan lancar.

Sehubungan itu, katanya, rakyat tidak perlu bimbang terhadap risiko urusan mereka  dengan sektor awam akan tergendala berikutan arahan terbaru ini.

“Perkhidmatan penting kepada rakyat akan terus beroperasi seperti biasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa yang telah ditetapkan kerajaan. Justeru itu rakyat tidak perlu bimbang urusan mereka akan tergendala berikutan arahan terbaru oleh kerajaan ketika ini kerana setiap jabatan kerajaan tidak pernah berhenti berfungsi atau lumpuh dalam menjalankan perkhidmatan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan media.

Beliau turut berharap, rakyat tidak memberikan persepsi buruk kepada penjawat awam susulan arahan BDR yang demi mengurangkan pergerakan ini kerana ia dilaksanakan Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah.

Jelas Adnan, pekeliling tersebut memperincikan aspek-aspek perlu dipatuhi setiap penjawat awam.

“Setelah lebih setahun negara melaksanakan PKP, CUEPACS yakin penjawat awam tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing melalui amalan BDR yang telah ditambahbaik dari semasa ke semasa. BDR telah pun menjadi amalan ketika PKP sebelum ini. CUEPACS yakin perkara ini boleh diadaptasi oleh penjawat dengan sebaik mungkin,”kata Adnan lagi.

Selain 80 peratus kakitangan awam yang bakal melaksanakan BDR bermula 25 Mei 2021, ketetapan itu juga turut terpakai untuk 40 peratus pekerja sektor swasta. -MalaysiaGazette