KUALA LUMPUR – Ketika orang ramai merungut penat hidup dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbeza, petugas kesihatan turut mengakui perkara sama, tetapi menganggapnya sebagai pengorbanan demi memerdekakan negara dari pandemik Covid-19.
Ini diluahkan Doktor Pakar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr. Nurul Ashikin Adnan yang menyifatkan, letih tidak patut dijadikan alasan ketika ini, sebaliknya semua pihak perlu bekerjasama dan cekal dalam membendung wabak bahaya ini.
Katanya, rakyat merasa letih kerana tidak boleh melakukan perkara yang selalu mereka buat sebelum ini seperti tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri.
“Kami juga tidak boleh lari daripada perasaan demikian, namun perlu teruskan juga kerana ia merupakan amanah dan jalan untuk kita selamatkan negara, walaupun jelas kepenatan pada setiap petugas, malah berisiko lebih tinggi untuk menjangkiti ahli keluarga apabila pulang ke rumah.
“Sebagai manusia biasa, sebahagian kami juga turut merindui ahli keluarga masing-masing kerana kebanyakannya bukan orang Terengganu, ada yang dua tahun tidak berjumpa keluarga,” katanya yang dipetik Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Mengulas mengenai pesakit Covid-19, Dr. Nurul Ashikin berkata, merawat individu positif pandemik adalah detik sangat sukar dan mencabar dalam hidup terutama apabila berhadapan dengan mereka yang berada di ambang kematian.
“Terutama di waktu kita hendak memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa keadaan pesakit sudah semakin teruk, ia bukan mudah bagi kami.
“Jika mereka boleh diselamatkan, itu adalah berita yang sanggat mengembirakan, tetapi perlu ingat virus ini bukan sesuatu yang biasa dan tidak mudah,” katanya.
Kerana itu, katanya, sangat wajar untuk setiap rakyat mengikuti saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah agar melakukan ‘self lockdown’.
“Bantulah kami petugas kesihatan, kalau tidak ada keperluan jangan keluar keluar, patuhi SOP serta pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial perlu diamalkan jika perlu keluar untuk menyelesaikan perkara penting.
“Kerana ini adalah langkah terbaik untuk hentikan penularan wabak Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette
















