APMM Pulau Pinang menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan seorang lelaki yang dipercayai terjun di kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Penemuan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza dalam keadaan enjin masih hidup menjadi petunjuk kepada insiden seorang lelaki  terjun di Jambatan Pulau Pinang hari ini.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada petugas peronda kawalan Jambatan Pulau Pinang berhubung insiden tersebut.

Jelas beliau, petugas berkenaan mengesyaki mangsa terjun ke dalam laut selepas melihat kenderaan lelaki itu di kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang dari Perai menghala ke pusat bandar.

Pihak APMM melakukan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa yang dikhuatiri lemas selepas bertindak terjun Jambatan Pulau Pinang hari ini.

“Sebaik menerima maklumat Maritme Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan mengaturgerak aset Bot Perkasa ke lokasi dipercayai mangsa jatuh.

“Berdasarkan maklumat awal lelaki tersebut berusia 56 tahun dan operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian tersebut.

“Pihak polis sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung mangsa berdasarkan kenderaan yang ditinggalkan di atas jambatan itu.

“Kita juga meminta bantuan pihak bertanggungjawab untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa,” ujar Shafee. – MalaysiaGazette